Malaysia terus menggandakan usaha memperkasakan arena ekonomi negara, apabila hari ini secara rasmi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dilancarkan – iaitu agenda yang akan membawa negara ke arah peningkatan industri berteknologi tinggi bersama sokongan transformasi digital.
Gagasan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ini menurut Perdana Menteri Anwar Ibrahim – bukanlah suatu pelan perindustrian yang tipikal, ia berpotensi meletakkan pasaran negara selaku kuasa ekonomi serantau.
Terdapat 4 misi kini dirangka untuk memacu agenda transformasi industri secara besar-besaran tersebut. Ianya untuk memajukan arena ekonomi, memberi tumpuan pada teknologi bersama sokongan digital, mencapai matlamat pelepasan karbon sifar bersih, dan untuk melindungi keselamatan ekonomi, pemain industri serta tingkatkan kecekapan produktiviti.
Misi ini juga akan disokong oleh pendekatan utama seperti mengatasi cabaran sistemik dan institusi negara. Dengan menangani cabaran pembiayaan, memupuk pembangunan dan meningkatkan kemahiran, menambah baik kemasukan pelabur, dan meningkatkan pendekatan tadbir urus negara.
Usaha ini sekaligus tidak hanya membuka peluang pekerjaan baharu yang lebih luas ke atas anak muda negara tetapi turut memacu pembangunan ekosistem yang lebih inklusif ke atas pemain perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara.
Maka untuk memacu agenda tersebut, kerajaan akan memperuntukkan hampir 10% iaitu RM9.5 bilion sokongan ke atas NIMP 2030. Dimana pelaksanaan ini memerlukan jumlah pelaburan anggaran sekitar RM95 bilion bagi tempoh 7 tahun perancangannya kelak. Diimaklumkan pelaburan itu akan digalakkan menerusi ekuiti, modal dan pasaran kewangan swasta negara. Seterusnya pemerkasaan pelan ini akan dimaklumkan akan dipaparkan dalam tempoh terdekat di bawah peranan MITI tidak lama lagi.