Artikel

Petronas Akan Bayar RM40 Bilion Dividen – Kepada Kerajaan

Petronas untuk separuh pertama 2023 kini memaklumkan meraih keuntungan selepas cukai sebanyak RM40.2 bilion. Perolehan ini bagaimanapun memaparkan penyusutan 13% berbanding keuntungan tahun lalu sekitar RM46.4 bilion. 

Keadaan ini menurut pengendali minyak dan gas nasional tersebut didorong persekitaran pasaran yang mencabar berikutan purata harga yang tidak menentu. 

Meskipun berlaku penyusutan untung, Petronas optimis untuk membayar dividen berjumlah RM40 bilion kepada kerajaan negara. Jumlah ini untuk makluman, alami pertambahan RM5 bilion berbanding sasaran awal sekitar RM35 bilion yang dimaklumkan sebelum ini. 

Langkah pembayaran ini didasari berasaskan keupayaan operasi setelah mengambilkira pandangan pemegang saham kumpulan. Namun Petronas akui ketidaktentuan pasaran semasa akan terus menimbulkan pelbagai risiko buat sektor ekonomi. 

Pihaknya menjangkakan persekitaran ekonomi akan kekal mencabar, diikuti pasaran tenaga yang lebih lemah pada tahun ini susulan aliran ekonomi lebih perlahan. 

Sementara itu pelarasan harga minyak pula, disasarkan akan terus berlegar sekitar AS$70 hingga AS$80 setong.