Artikel

Bank Negara Lantik Adnan Zaylani Selaku Timbalan Gabenor BNM – Berkuat Kuasa 1 September

Bermula 1 September ini, Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan akan melantik Adnan Zaylani Mohamad Zahid selaku Timbalan Gabenor BNM.

Pelantikan ini secara langsung akan memperlihatkan peranan Adnan Zaylani tertumpu kepada penyeliaan sektor pasaran kewangan dan pembangunan di negara.

Buat pengetahuan umum, Adnan Zaylani telah bersama BNM sejak tahun 1994 lagi selama 29 tahun – menerusi kebersamaan ini, Bank Negara menjangkakan pelbagai pemerkasaan dapat dilaksanakan bank pusat antaranya meliputi bidang pelaburan, pasaran kewangan, dasar pertukaran asing, kewangan Islam serta pembangunan sektor kewangan. Ini seiring dengan pengalaman beliau dalam arena ekonomi negara.

Selain peranan itu, Adnan Zaylani turut akan menjadi sebahagian Lembaga Pengarah BNM dan menyertai jawatankuasa perbankan – ini termasuklah ahli Jawatankuasa Pengurusan, Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Pengurusan Rizab, Jawatankuasa Pengurusan Risiko Kewangan, Jawatankuasa Kestabilan Kewangan, dan Jawatankuasa Dasar Bersama.