Artikel

Maybank Untung RM4.60 Bilion – Prestasi Naik 26% Sepanjang 6 bulan Pertama 2023

Maybank terus mengekalkan prestasi operasinya dengan meraih lonjakan keuntungan bersih kepada RM4.60 bilion bagi penilaian sepanjang 6 bulan pertama 2023 ini. 

Angka ini sekaligus menunjukkan berlakunya peningkatan 26% pada perolehan keuntungan perbankan untuk separuh pertama tahun ini. 

Pertumbuhan ini menurut Maybank didorong hasil peningkatan pendapatan operasinya sebanyak 8,6% kepada RM13.63 bilion. Sementara perolehan berasingan pada suku kedua pula iaitu April sehingga Jun 2023 pula memaparkan peningkatan pertumbuhan 15.9% kepada RM7.31 bilion. 

Secara menyeluruh hasil Maybank dimaklumkan turut melonjak kepada RM31.32 bilion bagi prestasi sepanjang 6 bulan ini. Melihat pada perolehan positif ini, Maybank kekal akui miliki pelbagai risiko kesan ketidakseimbangan ekonomi semasa. Akan tetapi berdasarkan prestasi perniagaan Malaysia, Maybank menjangkakan peluang perniagaan yang lebih baik akan kekal, didorong oleh dasar yang digariskan kerajaan untuk terus memacu pelaburan sektor swasta dan meningkatkan keyakinan pengguna.

Malah adanya penekanan berterusan pada bidang pertumbuhan utama disamping meningkatkan kualiti aset dan mengekalkan kedudukan kecairan, modal yang kukuh – ia berupaya bantu Maybank atasi potensi risiko yang mungkin timbul daripada perubahan dalam persekitaran operasi.