Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) disasar tidak sekadar melonjakkan pasaran pekerjaan negara dengan penawaran 350,000 pekerjaan pada industri pertumbuhan tinggi – tetapi turut berpotensi membantu Malaysia meraih peningkatan ekonomi antara 10-15% menjelang 2050.
Menurut Kementerian Ekonomi, menerusi peluang dalam pelan peralihan tenaga ini ia akan membuka ruang buat Malaysia meneroka pelaburan baharu dan meningkatkan kemahiran bakat baru dalam tenaga tempatan.
Usaha ini juga akan membantu negara mengurangkan 32% emisi dalam sektor tenaga selain membawa masuk pelaburan langsung asing (FDI) lestari bernilai tinggi ke Malaysia.
Mengikut perincian lanjut, kerajaan pada agenda tenaga ini turut menyasarkan menjelang 2050 Malaysia akan perluas kapasiti terpasang tenaga boleh diperbaharui kepada 70%, diikuti penjimatan kecekapan tenaga kepada 22% dan penembusan kenderaan elektrik kepada 80%.
Lebih menarik, 70% daripada keuntungan pendapatan yang dicapai akan disalurkan kepada isi rumah berpendapatan rendah dan sederhana.
Setakat ini, lanjutan daripada pelan itu kerajaan telah menubuhkan Majlis Tenaga Negara yang akan berperanan menyelaras hala tuju dan dasar strategik agenda tersebut. Mengikut aturan, MTN dijadualkan akan laksana mesyuarat pertamanya pada Oktober kelak.