Artikel

Usul Akta Iklan Gaji Akan Diteliti – Wajibkan Majikan Telus Papar Kadar Gaji Pada Iklan Pekerjaan

Ekoran terdapatnya cadangan bahawa majikan wajar mempamerkan julat gaji di dalam iklan jawatan pekerjaan dalam pasaran ekonomi negara, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan usul Akta Iklan Gaji ini akan diteliti – untuk memperincikan keupayaannya pada peranan majikan di masa hadapan.

Pihak KSM melihat ini sebahagian tanggungjawab pentadbiran untuk mengambilkira pelbagai cadangan, yang membolehkan pasaran pekerjaan negara terus ditambah-baik dari semasa ke semasa. Namun tindakan itu perlu diselarikan dengan dasar pekerjaan negara dan akan dimaklumkan sekiranya ia dapat direalisasi kelak.

Bagaimanapun usul tersebut mendapat pandangan berbeza daripada Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) yang melihat ia tidak wajar diterapkan susulan gaji adalah perkara yanng dikategorikan sebagai sulit dan tidak wajar dipamerkan kepada umum.

Mengikut perkongsian MEF hari ini, tindakan cadangan Akta Iklan Gaji ini berupaya memberi kesan kepada tanggapan pelabur dan ini akan mewujudkan pelbagai dimensi sentimen pelaburan ke atas sektor perniagaan negara. Malah menurut pihaknya, aturan itu tidak dapat menyelesaikan isu gaji permulaan yang didepani para graduan negara.