Artikel

Grab Sasar Tingkatkan Pendapatan Rakan Pemandu, Penghantar – Tambah Ciri Produktiviti Pada Aplikasi

Grab, firma teknologi Asia Tenggara yang menerajui pelbagai khidmat buat pengguna serantau kini menyatakan komitmen mereka untuk meluaskan pelbagai inovasi dalam aplikasi – bagi menyokong produktiviti rakan pemandu, penghantar operasi. Langkah ini sekaligus akan membolehkan rakan pemandu menjana pendapatan yang lebih baik dari semasa ke semasa. 

Berdasarkan pertemuan meja bulat bersama Rnggt, Grab kini telah melancarkan beberapa siri inovasi dalam aplikasi. Berdasarkan sokongan itu, tahun 2022, telah menyaksikan berlakunya peningkatan pendapatan secara purata bagi setiap jam rakan pemandu sekitar 10%. Lebih menarik, kadar masa terbiar rakan pemandu, penghantar juga diperhatikan semakin menurun sebanyak 3.55% dalam tempoh yang sama. 

Melalui kecekapan itu, Grab akan terus memperkasakan siri inovasi penyelesaian mereka – antaranya perkenalkan ciri Heatmap pada aplikasi. Di mana melalui ciri ini, Grab akan memberi ramalan lokasi yang memiliki permintaan tinggi buat rakan pemandu berdasarkan data masa nyata dan sejarah yang dikumpulkan mereka buat rakan pemandu. Menerusi ciri ini ia turut memaparkan purata masa menunggu buat pengguna sebelum laksana tempahan kepada rakan pemandu. Ini secara terus akan membantu rakan pemandu meraih peluang perkhidmatan yang lebih tinggi. 

Grab juga memberi jaminan, penetapan ciri itu sama sekali tidak akan mengugatkan permintaan di kawasan pesanan yang rendah dan pelarasan harga perkhidmatan juga tidak akan terjejas. Penawaran tempahan perkhidmatan akan diselaraskan mengikut permintaan dan kapasiti setiap ketersediaan rakan penghantar. 

Penyelesaian lain yang turut dipaparkan adalah Grab kini laksana ujian rintis bagi ciri Pemanduan ke arah Titik Panas (Hotspot Navigation) di Singapura. Yang mana ciri ini akan menjadi petunjuk kepada rakan pemandu akan kawasan yang miliki banyak tempahan mengikut permintaan semasa. 

Selain itu, Grab turut menguji ciri Panggilan Yang Diperibadikan (Personalised Alerts) buat rakan pemandu pada aplikasi. Ciri ini akan dihantar kepada rakan pemandu, penghantar yang tidak bertugas untuk mengambil peluang menjana pendapatan melalui notifikasi permintaan perkhidmatan semasa. 

Setakat ini ciri tersebut sedang diuji di Singapura dan Thailand, sementara dijangka akan memasuki Malaysia dan Filipina menjelang suku keempat 2023 kelak. 

Secara menyeluruh, pelbagai lagi siri inovasi bakal disajikan Grab buat kemudahan rakan pemandu, penghantar di masa hadapan – di mana usaha itu akan diperluaskan kepada ciri pengalaman tempahan di lapangan terbang, panduan penghantaran diikuti gabungan ciri lokasi permintaan tinggi. Menerusi usaha ini, Grab optimis kebajikan para rakan pemandu, penghantar akan terus dipelihara. 

Aturan ini sekaligus selari dengan matlamat industri pekerja ekonomi gig di Malaysia – yang menyasarkan penjanaan pendapatan lebih telus dapat dicapai tanpa mengugat hak pekerja di pasaran.