Artikel

Inflasi, COVID-19 – Dorong Hampir 70 Juta Penduduk Asia Berdepan Risiko Miskin Tegar

Meskipun negara Asia dalam fasa pemulihan daripada krisis COVID-19, namun tekanan kos sara hidup semasa yang didepani ketika ini kekal meningkatkan bebanan penduduk – untuk hapuskan status kemiskinan. Buat pengetahuan umum, sekitar 68 juta penduduk Asia lagi didapati berdepan risiko kemiskinan tegar impak tekanan inflasi dan krisis kesihatan. 

Tinjauan data Bank Pembangunan Asia (ADB) ini menjelaskan jumlah itu didasari berasaskan takrifan miskin tegar yang hidup kurang daripada $2.15 sehari (RM10) – berlandaskan pelarasan inflasi yang ditetapkan pada 2017 lagi.

Setakat tahun lalu sahaja, dianggarkan 155.3 juta di negara membangun Asia (3.9%) daripada penduduk rantau ini direkodkan hidup dalam kemiskinan tegar. 

Daripada angka itu, lebih 67.8 juta berpotensi berdepan masalah kesihatan dan tekanan kos.

Susulan daripada rekod ini, negara Asia disarankan untuk kekal berjaga dalam mengorak sebarang strategi kewangan dan pelaburan demi kesejahteraan rakyat. Ini kerana, dapatan juga merumuskan walaupun ekonomi Asia harus mencapai kemajuan menentang kemiskinan, dianggarkan 1.26 bilion orang, atau kira-kira 30% daripada unjuran penduduk rantau itu masih akan dianggap mudah terjejas, lemah dalam segmen ekonomi – menjelang 2030. 

Maka pelbagai peruntukan dasar ekonomi yan terperinci diperlukan untuk negara Asia, untuk mengukuhkan pertumbuhan mereka dan meningkatkan sokongan jaringan sosial dari semasa ke semasa. 

Pada pengamatan tekanan inflasi semasa, ADB kekal optimis paras inflasi pasaran pada tahun 2023 akan kembali mereda kepada 3.6%. Melalui jangkaan ini tekanan kos makanan akan lebih rendah, diikuti kos bahan api turut menurun.