Untuk terus kekal berdaya saing di pasaran global, Malaysia wajar meluaskan jejak penyertaan negara dalam sektor ekonomi digital Islam – yang dijangka berupaya mencapai nilai $7.7 trilion menjelang tahun 2025 kelak.
Perluasan ini menurut Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) wajar diperkasa melalui kerjasama dengan pihak berkepentingan dalam sektor ekonomi digital Islam.
Setakat ini, Malaysia kekal menampilkan prestasi yang membrangsangkan – apabila terus menjadi peneraju pada Penunjuk Ekonomi Islam Global (GIEI) selama 9 tahun berturutan. Prestasi ini telah dipacu pada ekosistem halal dalam beberapa sektor seperti sektor kewangan Islam, industri makanan-farmaseutikal-kosmetik halal, pelancongan mesra Muslim, media dan rekreasi.
Maka untuk memacu lagi agenda negara di bawah Malaysia Digital (MD), medium MD Tasree kini diperkenalkan pada Persidangan Industri Ekonomi Digital Islam (IDE) semalam untuk negara meneroka penyelesaian teknologi, perluasan projek rintis, serta pengukuhan penjanaan idea lebih luas dalam sektor digital. Usaha ini secara langsung akan membangunkan lagi sektor ekonomi digital Islam negara secara berperingkat.