Artikel

TNG Perkenal ParkInsure, RM5 Sebulan – Lindungi Kenderaan Pengguna Kad TNG Di Tempat Letak Kereta

Meskipun sesebuah kawasan tempat kereta itu miliki tahap sekuriti yang tinggi, masih terdapat pelbagai risiko akan berlakunya kemalangan tak diingini pada kawasan sedemikian. Maka untuk mengurangkan risiko dan kerugian pengguna – Touch ‘n Go kini memperkenalkan TNG ParkInsure iaitu perlindungan insurans dan takaful buat kenderaan pengguna di kawasan tempat letak kereta dengan langganan premium RM5 sebulan.

Melalui pelan perlindungan baharu ini, ia akan membantu pengguna kenderaan yang menggunakan kad TNG sebagai saluran pembayaran di tempat letak kereta tersebut – untuk melindungi kereta mereka, sekiranya berlaku kecelakaan seperti kemalangan, kehilangan atau kerosakan barangan peribadi di tempat letak kereta berkenaan.

Menerusi penawaran pelan TNG ParkInsure ini, di bawah segmen GOprotect pada aplikasi ini – pengguna boleh memilih dua tawaran perlindungan iaitu pertama pelan takaful di bawah Zurich General Takaful Malaysia dan kedua pelan insurans konvensional di bawah Allianz Malaysia.

Dengan proses permohonan sepantas 3 minit sahaja, pengguna TNG boleh meraih pelbagai manfaat di bawah pelan TNG ParkInsure ini bersama sokongan tuntutan 24 jam. Setelah langganan berjaya dilaksanakan – perlindungan pengguna ParkInsure akan berkuat kuasa pada jam 12;00 pagi keesokan harinya selama tempoh 1 bulan dari tarikh dikuat kuasakan.

Antara faedahnya pengguna berupaya meraih pembayaran balik sehingga RM70,000 sekiranya berlakunya kemalangan menyebabkan hilang upaya kekal atau kematian di lokasi tempat letak kereta tersebut. Tidak hanya itu faedah sehingga RM1,500 untuk kes ragut turut disediakan. Diikuti faedah perolehan sehingga RM1,500 sekiranya berlaku kemalangan pecah kereta.

Selain perolehan faedah tersebut, pelan ParkInsure turut menjamin memberi pulangan dana untuk menampung kos perubatan terpilih dan kos kehilangan kad TNG atau kunci kenderaan. Penawaran ini tertakluk kepada situasi kemalangan yang didepani pengguna.

Secara menyeluruh, ketika ini terdapat 1,350 tapak letak kereta yang membolehkan pengguna membayarkan secara kad TNG di seluruh negara – ini bermakna pada jumlah tempat letak kenderaan tersebut, pengguna boleh menebus pelan perlindungan TNG ParkInsure sekiranya berlaku sebarang kemalangan peribadi di lokasi sedemikian.