Senada dengan hasrat negara, untuk perkasakan penggunaan secara atas talian – Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memaklumkan secara berperingkat mulai 1 September ini, pembayar cukai diwajibkan guna e-Perkhidmatan percukaian melalui portal MyTax.
LHDN menjangkakan usaha ini akan sepenuhnya dikuat kuasakan secara atas talian pada 1 Januari 2024 kelak.
Susulan itu, kumpulan pembayar cukai kini digalakkan beralih kepada perkhidmatan E2E dalam semua transaksi termasuklah menggunakan kaedah pembayaran secara dalam talian yang telah disediakan – bagi memastikan segala transaksi percukaian dapat terus direkodkan pada data simpanan digital.
Untuk peringkat awal, ini senarai e-Perkhidmatan yang bakal diwajibkan diguna bermula 1 September 2023 kelak ;
- Pendaftaran Nombor Pengenalan Cukai (TIN)
- Permohonan No.Pin
- Pengemaskinian Maklumat
- Bayaran Pendahuluan
- Pengemukaan Borang Nyata, Dokumen Percukaian & Surat Cara
- Permohonan & Rayuan
Bagaimanapun pembayar cukai tidak perlu khuatir, masih terdapat kumpulan pembayar cukai dibenarkan untuk mengurus percukaian mereka mengikut kaedah manual. Aturan tersebut boleh dirujuk pada pautan portal e-Perkhidmatan LHDN.