Artikel

BAITI Bolehkan Golongan M40 Miliki Rumah Pertama – Tanpa Kos Deposit 10%

Ketika ini kadar pemilikan rumah di Malaysia hanya mencatatkan 44.7% berdasarkan data 200 sehingga 2022 – dan paras itu sukar dipertingkatkan susulan terdapatnya potensi peningkatan 5% purata harga rumah di Malaysia. 

Maka untuk merancakkan lagi aliran pembelian kediaman di pasaran khususnya dalam kalangan golongan M40, pendapatan pertengahan – BAITI kini tampil  menyediakan tawaran bantuan kewangan kepada kumpulan M40 untuk meraih peluang, miliki rumah pertama di Lembah Klang dan Selangor. 

Buat pengetahuan umum, BAITI adalah medium yang membolehkan pembeli kediaman pertama meraih akses pembayaran tanpa deposit bagi pembelian rumah subjualan. Idea tersebut dimaklumkan tercetus setelah mendapat pelbagai maklum-balas M40 berhubung keperluan 10% deposit untuk pemilikan rumah. Golongan ini telah berjaya lepasi kriteria pinjaman bank namun tidak memiliki wang yang mencukupi untuk melunaskan pembayaran deposit rumah. 

Maka melalui akses bersama BAITI, golongan M40 kini berupaya merealisasikan perolehan rumah pertama mereka tanpa perlu runsing akan keperluan wang deposit. Bagaimanapun perolehan itu hanya dapat diraih setelah melalui proses saringan pada permohonan BAITI. 

Di mana pengguna boleh laksana permohonan di laman BAITI, seterusnya jalani pemeriksaan pinjaman, pemilihan hartanah dan status perolehan kediaman berkaitan. Selain itu, untuk permohonan BAITI, pelarasan harga kediaman ditetapkan antara RM400,000 hingga RM750,000  buat pengguna. Melalui pelarasan itu, BAITI turut memberi jaminan kadar faedah yang tersedia adalah 0%. 

Bagi memudahkan pengguna juga, BAITI turut menyepadukan segala perkhidmatan bermula pembiayaan, ejen dan peguam di satu platform. Aturan ini secara langsung meningkatkan kecekapan proses pembelian rumah bersama pengguna. Pelan ini untuk perincian melibatkan kerjasama syarikat swasta terdiri daripada Hi Home Capital, Asiah Hisam Advocates & Solicitors dan AFC Mortgage. 

Secara menyeluruh, untuk tahun ini BAITI akan beri tumpuan di Lembah Klang dan Selangor, seterusya akan diilanjutkan ke Johor pada tahun 2024 dan diperluas ke Pulau Pinang pada 2025. Melalui inisiatif itu, BAITI menjangkakan sekitar 1,000 permohonan daripada golongan M40diraih untuk miliki rumah pertama dalam tempoh 3 tahun mendatang.