Bank Negara Malaysia (BNM) kini menyediakan inisiatif iTEKAD, iaitu platform yang membantu usahawan mikro berpendapatan rendah mengukuhkan pengurusan kewangan mereka, disamping menjana pendapatan yang berterusan dan diberi pendedahan infrastruktur digital.
Pelancaran program yang dilaksana hari ini bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperincikan terdapat beberapa akses perniagaan yang mampu diraih para usahawan negara. Ia merangkumi Modal permulaan (dibiayai oleh instrumen kewangan sosial, contohnya derma, pelaburan impak sosial, zakat dan wakaf tunai), Pembiayaan mikro yang menyokong keperluan modal kerja bagi pengembangan perniagaan dan memupuk tingkah laku kewangan yang berhemat, berserta Latihan kewangan dan perniagaan yang berstruktur – pembinaan keupayaan termasuk bimbingan perniagaan untuk memantapkan kemahiran keusahawanan untuk daya tahan dan prestasi perniagaan.
Berdasarkan perincian amaun pembiayaan ini akan tersedia sekitar RM5,000 sehingga RM50,000.

Melalui manfaat sedemikian, ia tidak sekadar membantu usahawan meningkatkan pendapatan perolehan perniagaan dan mengurangkan kos operasi tetapi turut memperkasakan lagi kemahiran ekonomi digital mereka seiring dengan permintaan pasaran semasa.
Lebih menarik tidak hanya kumpulan usahawan sahaja, tetapi kumpulan rakan penghantar turut berpeluang nikmati pembiayaan ini untuk menyokong perkhidmatan pekerjaan mereka.
BNM juga melihat pelan ini antara sebahagian usaha sektor kewangan untuk membantu negara mengurangkan kadar kemiskinan di Malaysia dalam peringkat ekonomi. Di mana pelan ini berpotensi menyeimbangkan keperluan pemain industri untuk meraih sokongan merancakkan sektor ekonomi negara.
Setakat ini untuk peringkat awal sejumlah 3,389 usahawan telah menyertai iTEKAD dan sebanyak RM8.5 juta pembiayaan bersama pelaburan telah dikeluarkan di bawah medium ini.
Turut difahamkan platform ini mendapat sokongan bersama 11 institusi kewangan merangkumi Bank Muamalat, Bank Rakyat, BSN, Public Bank, SME Bank, Agro Bank, RHB Islamic Bank, Ambank Islamic, CIMB Islamic dan Maybank Islamic.
Sebarang maklumat lanjut, semua pihak boleh layari pautan iTEKAD untuk ketahui penjelasan lanjut berhubung perolehan sokongan pembiayaan bersama BNM ini.
