Walaupun kadar pengangguran di Malaysia semakin berkurangan dengan mereda kepada 3.4% setakat Jun 2023 – didapati daripada angka itu, Sabah menjadi negeri tertinggi mencatatkan kadar pengangguran seramai 169,800 (29%) daripada jumlah 588,700 penganggur di seluruh Malaysia.
Lebih membimbangkan untuk suku pertama 2023 sahaja, Sabah mencatatkan paras kadar pengangguran 7.7%. Di mana kadar dua kali ganda lebih tinggi berbanding paras nasional sekitar 3.5%.
Data yang dikongsikan Kementerian Sumber Manusia (KSM) ini bagaimanapun diteliti berasaskan isu pekerjaan yang ditawarkan di Sabah. Difahamkan lebih 800,000 individu merupakan golongan pekerja yang bukan di bawah Ordinan Buruh. Sementara status majikan pula lebih 90% majikan di Sabah berstatus pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS). Situasi itu secara langsung memberi kesan pada penawaran pekerjaan di peringkat negeri.
Maka bagi mengatasi isu berkaitan penubuhan Majlis penasihat Buruh Sabah kini telah diwujudkan untuk memperkasakan lagi struktur penawaran pekerjaan pada pasaran negeri. Aturan itu secara langsung berupaya meningkatkan ekonomi setempat, di samping membantu menaikkan kadar upah yang lebih baik secara berperingkat.