Artikel

Malaysia Kaji Kurangkan Kebergantungan Import Gula Mentah

Dalam memastikan negara terus kekal bersedia, depani sebarang isu yang berupaya menjejaskan bekalan keperluan pengguna- pentadbiran Malaysia ketika ini sedang mengkaji pendekatan terbaik untuk kurangkan kebergantungan negara ke atas aliran import gula mentah.

Ini kerana menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), sebarang ketidakseimbangan faktor luar dilihat berpotensi menjejaskan bekalan negara dan situasi itu boleh merisikokan struktur geopolitik negara. 

Ketika ini Malaysia memiliki kapasiti gula proses yang memuaskan namun perolehan bekalan gula mentah negara sepenuhnya 100% diraih dari Brazil. Sebelum ini perolehan tersebut turut diimport dari India dan Thailand. 

Maka untuk jangka masa panjang, KPDN melihat Malaysia perlu miliki penghasilan bekalan gula mentah tersendiri untuk penuhi permintaan keperluan harian pengguna. 

Menurut KPDN perolehan import yang dilaksanakan adalah didasari faktor kosnya lebih rendah berbanding dikeluarkan dalam negara. Bagaimanapun kapasiti penghasilan dari Malaysia perlu diwujudkan meskipun pada skala kecil- untuk memastikan keperluan domestik kekal terpelihara.