Artikel

Penduduk Malaysia Kurang Berpindah, Kadar Migrasi Kini Menurun Kepada 0.5% – DOSM

Tahun 2022, memperlihatkan jumlah migrasi di negara telah alami penurunan – di mana didapati penduduk berusia 1 tahun dan ke atas yang telah berhijrah pada tahun 2022 menurun kepada 158,800 individu. Ini secara langsung menunjukkan kadar migrasi menurun kepada 0.5% berbanding 1.5% pada 2020. 

Perkongsian data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Survei Migrasi 2022 kali ini turut menunjukkan rata-rata kategori migrasi telah menurun. Antaranya jumlah penduduk berhijrah antara negeri menurun kepada 30.3%, diikuti jumlah penduduk antarabangsa dari luar negara ke Malaysia menurun kepada 7.4%

Ketika ini hanya jumlah penduduk berhijrah dalam negeri sahaja memaparkan peningkatkan kepada 62.3% pada 2022 berbanding 58.4% pada 2020. 

Berdasarkan jumlah kemasukan penduduk berhijrah antara negeri – didapati Selangor mencatatkan angka migran masuk tertinggi dengan 29,200 individu. Di mana sebahagian besar yang berhijrah ke Selangor adalah disumbangkan dari Johor dengan kemasukan 1.400 individu. 

Selain Selangor, negeri yang turut mencatatkan jumlah penduduk berhijrah dalam negeri tertinggi adalah Johor (22,400 individu) dan Kedah (7,300 individu). 

Tidak hanya itu, Selangor juga turut menjadi negeri tertinggi mencatatkan tindakan penduduk berhijrah keluar seramai 37,200 individu. Apa yang menarik majoriti penduduk yang berhijrah dari Selangor tersebut adalah berpindah ke Negeri Sembilan (3,500 individu) dan Kelantan (1,800 individu). 

Sementara mengikut aliran penghijrahan pula, tahap peratusan penduduk berhijrah dari bandar ke bandar kekal tinggi. Setakat ini semua negeri mencatatkan pergerakan hijrah tertinggi dari bandar ke bandar kecuali Terengganu yang merekodkan pergerakan hijrah tertinggi dari bandar ke luar bandar.

Manakala mengikut kumpulan usia pula – penduduk berusia 25 tahun hingga 34 tahun mencatatkan kadar berhijrah dalam negara tertinggi kepada 33.1%, sebagai pecahan 1-14 tahun (24.2%) dan 15-24 tahun (21.4%) diikuti kumpulan penduduk berusia 65 tahun ke atas paling sedikit berhirah dalam negara pada 0.1%. 

Secara menyeluruh, faktor yang mendorong tindakan penghijrahan penduduk adalah disebabkan faktor mengikut keluarga (47.3%), persekitaran (19.3%), kerjaya (18.3%) dan status perkahwinan/perceraian (5.7%) dan pendidikan (5.4%).