Artikel

Amanah Saham Rahmah Kini Dikaji, Bantu Keluarga Miskin Tegar – KPDN

Usaha meluaskan lagi inisiatif Rahmah, demi kepentingan kebajikan penduduk di Malaysia – pentadbiran negara melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kini sedang teliti untuk wujudkan inisiatif Amanah Saham Rahmah bagi membantu kumpulan keluarga miskin tegar di Malaysia. 

Aturan itu dilihat berupaya membantu golongan ini menangani beban kos sara hidup, di samping kekal meraih aliran pendapatan berterusan. 

Berdasarkan perincian lanjut pada laporan RTM,  melalui amanah tersebut – sejumlah wang akan dilaburkan oleh kerajaan di bawah syarikat tertentu dan perolehan dividen hasil peaburan tersebut akan diberi kepada isi rumah yang memerlukan. Sementara wang pokok yang dilaburkan akan kekal milik kerajaan negara.

Sebagai contoh, kerajaan meletakkan sekitar RM100,000 untuk pelaburan keluarga di bawah Permodalan Nasional Berhad dan hasil dividen itu akan diagihkan kepada isi rumah miskin tegar manakala wang asas pelaburan itu kekal milik kerajaan.

Setakat ini pendekatan untuk melaksanakan inisiatif tersebut masih dikaji akan kumpulan yang mana akan terlibat pada pengumpulan wang tersebut dan langkah negara untuk laburkan dana itu dalam satu akaun.