Fenomena El Nino, iaitu persekitaran kemarau ketika ini dijangka berpotensi mengurangkan pengeluaran kopi ke atas pengeluar keempat terbesar di dunia iaitu Indonesia. Situasi ini sekaligus berupaya mendorong kepada pelarasan harga yang lebih tinggi di pasaran global.
Setakat ini didapati harga kopi berupaya meningkat lebih 40% pada 2023 dan telahpun mencapai rekod tertinggi pada Jun lalu. Mengikut data agensi cuaca BMKG ini – fenomena panas dan kering yang berpanjangan itu sudahpun memberi kesan kepada lebih dua pertiga penduduk di Indonesia.
Ini termasuklah kesannya ke atas bahagian Jawa dan sebahagian Sumatera – yang merupakan antara dua kawasan utama bagi pengeluaran kopi.
Secara menyeluruh, untuk jangkaan sehingga tahun 2024 – pengeluaran kopi Indonesia disasar sekitar 9.7 juta beg, iaitu semakin berkurangan berbanding 11.85 juta beg setahun yang berjaya direkodkan pada tahun 2022. Jangkaan pengeluaran ini secara langsung menjadikan ia paras terendah sejak pengeluaran kopi pada tahun 2011-2012.