PRU di enam negeri iaitu Selangor, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Terengganu dan Negeri Sembilan mengekalkan status quo dikekalkan. Terdapat banyak ulasan, pendapat dan reaksi ditulis mengenai keputusan kali ini tetapi di Rnggt kami cuba mengulasnya dari sudut pandangan teknologi yang setakat kami lihat belum disentuh penganalisa lain.
Perlukan Sistem Undi Atas Talian Sebelum PRU-16
Peratusan yang membuang undi untuk PRN enam negeri adalah rendah dengan Terengganu mencatatkan peratusan “tertinggi” iaitu 70%. Di Kelantan misalnya hanya 56% pengundi melakukan tanggung jawab mereka sementara di Selangor hanya 65%. Telah tiba masanya sistem undian atas talian dipertimbangkan. Pada Hari Raya Aidiladha yang lalu, muncul laporan mereka yang kelik ke Kelantan dari Kuala Lumpur mengambil masa 25 jam untuk tiba di kampung. Ini mungkin antara sebab mengapa peratusan yang mengundi di Kelantan rendah.
Di Selangor pula muncul laporan warga OKU mengalami kesukaran mengundi kerana tidak dibenarkan turun di depan pusat mengundi sedangkan mereka memandu sendiri. Perlu meletakkan kereta 600 meter jauhnya sedangkan mereka berkerusi roda. SPR dan kerajaan mempunyai tempoh lima tahun lagi seperti PRU-16. Tempoh yang mencukupi untuk melaksanakan e-undi menggunakan Identiti Digital Kebangsaan yang telah diumumkan sebelum ini.
Sistem MySemak Masih Lagi Gagal Pada Hari Mengundi
Tetapi sebelum sistem e-undi dilaksanakan, pastikanlah pula sistem SPR boleh menanggung trafik yang tinggi apabila jutaan rakyat membuang undi. Jangan jadi seperti sistem MySemak yang sekali tercekik sebelum koma di awal pagi hari membuang undi. Saya telah melakukan semakan seminggu lebih awal dan melakukan tangkapan layar kerana semasa PRU yang lalu MySemak gagal diakses.
Nasib baik saya pernah mengundi sebelum ini dan tahu pusat mengundi di mana. Hanya tak ingat saluran yang boleh disemak di pusat membuang undi. Anak-anak muda yang baru kali pertama mengundi pasti ramai yang hilang arah kerana MySemak secara tiba 404 dengan mereka. Sebagai sistem yang penting di hari mengundi, perkukuhkan dahulu sistem IT SPR. Kalau MySemak pun jadi MySesak, e-undi kelak mungkin jadi e-tak-undi.
Media Sosial Semakin Relevan Dan Penting Berbanding Media Arus Perdana
Media sosial menjadi mula medan pertempuran penting ketika PRU-13 tahun 2013. Parti pembangkang yang tidak dapat mengakses media arus perdana menggunakan media sosial (Facebook dan YouTube pada waktu tersebut) pada waktu tersebut untuk menyampaikan manifesto mereka terus kepada golongan sasaran. Kempen media sosial Obama tahun 2008 dijadikan templat yang cukup berkesan.
Di PRN semalam, kita dapat melihat bagaimana media sosial (TikTok, Facebook, Telegram, WhatsApp dan YouTube) menjadi medium utama penyebaran propaganda daripada semua parti bertanding. Saya katakan propaganda kerana semua pihak bersalah menggunakan teknik “separuh fakta separuh lagi rekayasa” untuk menang. Kalau ditanya orang kebanyakan ketika mengundi semalam, saya boleh katakan tak ramai tahu apakah manifesto-manifesto gagasan parti-parti yang bertanding.
Kita hidup di zaman di mana penyampaian fakta menerusi media arus perdana (TV, radio dan akhbar) tidak lagi efektif seperti sedekad lalu.
Media Sosial Masih Gagal Padam Kandungan Palsu
Dengan media sosial menjadi medium pilihan penyampaian maklumat, kita perlu juga berhadapan dengan isu ia turut menjadi saluran utama penyampaian maklumat palsu. Ini adalah isu berbangkit dari PRU yang lalu tetapi masih belum dapat ditangani dengan baik. Berlaku beberapa insiden maklumat tidak tepat telah digunakan sebagai bahan kempen. Ini memaksa beberapa ahli politik memfailkan saman kepada anggota parti lawan yang didakwa memfitnah.
Tidak seperti ketika PRU, setahu saya platform media sosial tidak lagi memantau kandungan yang dimuat naik oleh pengguna semasa kempen PRN. Oleh itu media sosial menjadi medan pertempuran dengan tuduhan tidak berasas di lontar oleh kesemua penyokong parti yang terlibat. Platform media sosial utama langsung tidak mampu menghalang penyebaran kandungan-kandungan ini daripada platform mereka. Seperti virus, kandungan yang telah dipadam bagi memenuhi LOD yang dihantar peguam disebarkan pula oleh akaun lain seperti surat berantai.
Satu-satunya cara untuk mengelakkan diri daripada terbaca kandungan yang sensitif serta menyentuh topik 3R ini ialah dengan berpuasa terus daripada media sosial. Tetapi ini bukan jalan penyelesaiannya. Di Jerman pengelola media sosial bertanggungjawab memantau kandungan berunsur perkauman bagi mengelakkan mereka didenda. Awal tahun ini KKD telah bertemu wakil pelbagai platform media sosial di Malaysia dengan TikTok berjanji akan memantau kandungan provokatif. Sepanjang tempoh PRN kami boleh katakan janji ini hanya tinggi janji seperti janji KKD ingin membanteras ulat tiket Coldplay.
Kempen Di Media Sosial Sahaja Tidak Mencukupi
Kita juga boleh melihat bagaimana bergantung kepada media sosial sahaja tidak boleh menjamin kemenangan. Dua parti dengan peratusan kemenangan tertinggi di PRN ini terkenal dengan usaha akar umbi yang telah dilakukan sejak berdekad lamanya. Sementara itu sebuah parti MUDA yang setahun jagung kalah teruk sehingga kehilangan semua wang deposit walaupun menjalankan kempen media sosial yang saya boleh katakan berkualiti tinggi dibantu oleh populariti Syed Saddiq.
Hakikatnya untuk meraih undi masih perlu adalah hubungan peribadi fizikal antara parti dan yang mengundi. Video TikTok yang “cool” bukan ganti kepada kerja di lapangan yang dilakukan oleh PH, PAS, dan BN sejak berdekad lamanya. Ini tidak dibantu oleh calon MUDA yang dipayung-terjunkan ke lokasi tanpa sebarang gerakan akar umbi sebelum PRN. Jika MUDA ingin dipandang serius mereka harus menyedari realiti ini dengan pantas. Kejayaan di PRU yang lalu jelas kerana digendong oleh jentera parti sekutu mereka yang berbesar hati memberikan laluan.
96 Calon PRN Hilang Wang Deposit Bernilai RM480,000
Tiada pencerahan ilmiah pada poin terakhir artikel cuma 96 calon hilang wang deposit mereka di PRN kali ini. SPR meletakkan deposit RM5000 untuk setiap individu yang ingin bertanding di PRN. Ia akan dipulangkan sekiranya calon berjaya mengutip sekurang-kurangnya 1/8 (12.5%) daripada jumlah undi yang dibuang pada kerusi DUN mereka bertanding. Secara keseluruhan RM480,000 wang deposit lebur.
Dengan wang yang sama anda boleh membeli:
1x Tesla Model Y Performance dengan FSD dan BYD Atto 3 Standard Range
21x Perodua Axia 1.0L E
57x Samsung Galaxy Z Fold5 12/1000GB
65x iPhone 14 Pro Max 512GB
192x Sony PlayStation 5 Disc Version
727 tahun langganan Netflix Premium
2512 tahun langganan Spotify Premium
35,821x Burger Big Mac
49,484x Pek Burger daging Ramly