Artikel

Kadar Sewa Pejabat Di KL – Dijangka Menurun Dalam Tempoh 12 Bulan Mendatang

Kadar sewa pejabat di ibu kota negara, Kuala Lumpur – kelak dijangka terus alami penurunan dalam tempoh 12 bulan mendatang. Situasi ini didorong kesan daripada peningkatan kadar kekosongan dan ketiadaan minat penyewa kalangan pengusaha di negara yang dilihat semakin melebar. 

Walaupun data di bawah Knight Frank bagi edisi Julai 2023 ini menunjukkan – kadar sewa pejabat di KL kekal stabil untuk suku kedua 2023. Namun persekitaran itu sebenarnya hanya diimbangi oleh hasil pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh pada suku pertama 2023, iaitu mencatatkan KDNK sekitar 5.6%. 

Hakikatnya, pasaran sewa pejabat di KL terus menunjukkan kelemahan apabila nilai bagi kaki persegi unit pejabat telah menurun kepada RM5.72, sementara kadar kekosongan unit pejabat pula meningkat kepada 27.7%. Fenomena ini jelas menunjukkan pelarasan kadar sewa yang lebih rendah telah berlaku dan kadar penghunian unit pejabat pula masih terus merundum. 

Lebih membimbangkan, mengikut data pembekalan unit pejabat untuk tahun 2023 – dijangka jumlah keluasan per meter bagi unit pejabat di KL bakal tersedia sekitar 300,000 per meter, diikuti tahun 2024 tambahan lebih 100,000 per meter keluasan melibatkan unit pejabat di KL akan dilaksanakan. 

Menerusi rancangan itu, maka tidak hairanlah sekiranya kadar sewa pejabat di KL terus menurun secara berperingkat dalam tempoh 12 bulan mendatang kelak. 

Secara menyeluruh, ini pelarasan kadar sewa pejabat yang bakal berlaku ke atas 23 bandar utama di pasaran Asia Pasifik bagi tempoh 12 bulan mendatang mengikut tinjauan Knight Frank ; 

Kadar Sewa Pejabat Akan Menurun

  • Kuala Lumpur
  • Guangzhou
  • Shenzen 
  • Hong Kong SAR
  • Phnom Penh
  • Ho Chi Minh City

Kadar Sewa Pejabat Tidak Berubah

  • Auckland
  • Melbourne
  • Tokyo
  • Beijing
  • Seoul
  • Jakarta
  • Manila 
  • Bengaluru
  • Mumbai
  • Delhi-NCR

Kadar Sewa Pejabat Akan Meningkat

  • Brisbane
  • Perth
  • Sydney
  • Shanghai
  • Taipei 
  • Bangkok
  • Singapura