Artikel

SC Beri Amaran – Pelabur Dilarang Guna Nama, Logo Tanpa Kebenaran Bagi Promosi Produk

Menyedari terdapat segelintir pihak tidak bertanggungjawab menyalahgunakan nama serta logo Suruhanjaya Sekuriti (SC) secara tidak sah bagi tujuan mempromosikan produk pelaburan mereka – SC kini memberi amaran akan mengenakan tindakan perundangan sekiranya tindakan itu tidak ditamatkan. 

Khususnya dalam kalangan pelabur yang bertindak sedemikian. SC pada kenyataan rasmi hari ini menjelaskan pihaknya tidak meluluskan sebarang produk pelaburan amanah tunai di pasaran negara. Rentetan itu, sebarang penggunaan nama, logo SC dalam bahan promosi pelaburan amanah tunai adalah dilarang sama sekali. 

Tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian adalah serius dan berupaya mengelirukan orang awam akan penawaran produk pelaburan tersebut. 

SC turut memperincikan semua pihak tidak boleh menyalahgunakan video penjelasan amanah tunai yang dihasilkan SC sebelum ini. Ia kerana pemaparan video tersebut adalah bertujuan mendidik masyarakat awam sahaja bukan digunapakai oleh pihak pelabur untuk mengelirukan orang awam berkenaan ketelusan produk pelaburan mereka.

Susulan itu, sekiranya terdapat mana-mana pihak pelabur atau orang awam masih menyalahgunakan SC untuk kepentingan produk pelaburan mereka – semua pihak diminta melaporkan pada emel [email protected] dan merujuk kepada pejabat Pengguna dan Pelabur SC, hubungi pada talian 03-62048999 untuk tindakan lanjut.