Sektor ekonomi di Malaysia dilihat semakin rancak, apabila jumlah peluang pekerjaan dalam pasaran buruh negara kini meningkat 2.4% kepada 8.83 juta jawatan bagi suku kedua 2023.
Mengikut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) prestasi itu menunjukkan sejumlah 8.64 juta jawatan telah berjaya diisi (97.9%) bersama penambahan sebanyak 209,800 jawatan telah diisi. Setakat ini, kadar kekosongan jawatan pula adalah sebanyak 189,600 (2.1%) dengan pengurangan sebanyak 1,000 jawatan berbanding suku kedua tahun 2022.
Bagaimanapun mengikut permintaan buruh berlandaskan tahap kemahiran – ternyata jumlah pekerja separuh mahir kekal ungguli pada permintaan semasa. Sebanyak 5.51 juta jawatan separuh mahir telah tersedia pada suku kedua ini dan sekitar 5.4 juta pekerja telah mengisi kekosongan tersebut.

Sementara pada kategori mahir pula seramai 2.1 juta pekerja telah dicatatkan dan diikuti 1.08 juta pekerja berkemahiran rendah dicatatkan dalam sektor ekonomi suku kedua 2023 ini.
Manakala berdasarkan kategori sektor pula – pengisian jawatan kosong kekal diungguli sektor Perkhidmatan dengan seramai 4.55 jawatan telah diisi, diikuti Pembuatan sebanyak 2.32 juta jawatan telah diisi dan Pembinaan 1.23 juta pekerjaan telah diisi, Pertanian pula 451,000 serta Perlombongan, Pengkuarian 80,000 jawatan diisi.
Secara menyeluruh, peratusan kategori pekerja separuh mahir di Malaysia kekal tinggi – kini mencapai 62.5% berbanding jumlah pekerja mahir 25% dan pekerja berkemahiran rendah pula 12.5%. Buat pengetahuan umum, data ini hanya merangkumi status pekerja yang bergaji sahaja – sama ada bekerja sepenuh masa atau secara sambilan. Ini tidak termasuk dengan pemilik perseorangan, rakan niaga, pekerja keluarga tanpa gaji atau pekerja yang bercuti tanpa gaji.
