Kebelakangan ini, seringkali melihat terdapat beberapa isu timbul dalam kalangan pengguna Maybank yang menggunakan aplikasi MAE. Antaranya melibatkan isu kesukaran penggunaan lebih daripada satu akaun di aplikasi.
Menurut segmen digital Maybank, kesukaran itu tercetus susulan akaun peribadi dan akaun perniagaan tidak boleh digabungkan dalam satu aplikasi kerana keduanya merupakan entiti berbeza. Situasi yang sama turut didepani pengguna yang miliki dua atau lebih perniagaan – di mana kumpulan ini tidak boleh menggabungkan akaun mereka dalam satu akaun MAE.
Perkara ini adalah disebabkan faktor keselamatan dan di bawah taklukan sekuriti daripada Bank Negara Malaysia (BNM). Bagaimanapun menyedari kesulitan itu, Maybank pada laporan BH kini dalam usaha menambah-baik isu tersebut dan dijangka bakal perkenal ciri sokongan penyelesaian tersebut pada aplikasi MAE menjelang suku keempat 2023 ini.
Langkah itu sekaligus akan membantu pengguna atasi masalah transaksi perbankan bagi tempoh jangka masa panjang. Maybank memaklumkan penyelesaian tersebut tidak akan membabitkan pengenalan aplikasi baharu sebaliknya akan menaik-taraf aplikasi sedia ada iaitu MAE dan M2U BIZ.