Artikel

Dasar Wajib Pendidikan Sekolah Menengah Kini Diteliti – Atasi Isu Keciciran Pelajar Negara 

Selain memberi tumpuan pada pertumbuhan semasa, isu pendidikan di negara turut wajar diutamakan bagi mengimbangi kestabilan ekonomi di masa hadapan. Menyedari kepentingan itu dan isu keciciran yang terus menghimpit sistem pendidikan di Malaysia – Kementerian Pendidikan (KPM) kini dalam usaha memuktamadkan dasar mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah menengah kelak.

Semakan dasar baharu ini bertujuan untuk melandaikan dan menamatkan isu keciciran yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah negara. Adanya usul mewajibkan perolehan pembelajaran sehingga peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini akan membantu semua pelajar meraih manfaat di masa hadapan.

Ketika ini diperhatikan isu keciciran berlaku di peringkat prasekolah dan sekolah menengah – tidak pada sekolah rendah. Mengikut data KPM, bilangan pelajar yang mendaftar bagi peringkat sekolah rendah adalah tinggi mencapai 99% – maka situasi yang sama harus diterapkan pada enrolmen di peringkat sekolah menengah.

Untuk isu kekurangan mendaftar di peringkat prasekolah – KPM telah laksana usaha menambah bilangan cawangan kepada 118 tambahan prasekolah dan penempatan prasekolah di peringkat sekolah rendah turut meningkatkan lagi galalakan penyertaan pelajar kalangan usia 4  tahun sehingga 6 tahun.

Aturan ini sekaligus membantu memenuhi keperluan setiap isi rumah mengikut lokasi pendidikan mereka.

KPM turut menegaskan isu keciciran ini tidak hanya akan beri kesan kepada masa hadapan pelajar secara individu, atau naik-taraf kelas pendapatan mereka tetapi ia juga penting untuk memastikan bakat rakyat negara tidak disia-siakan dalam sektor ekonomi.

Setakat ini kualiti pendidikan Malaysia dilihat lebih keterdepan berbanding di negara Asia Tenggara lain – ini kerana untuk mengajar di peringkat prasekolah sahaja, para guru wajib memiliki diploma dalam pendidikan awal kanak-kanak.