Artikel

Cradle Sumbang RM1.83 Bilion Kepada KDNK, Sejak 2003 – MOSTI

Sejak penubuhannya bermula tahun 2003, Cradle Fund – platform pembiayaan startup negara telah menyumbang RM1.83 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi program geran serta pelaburan di pasaran negara. 

Menurut pengamatan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) setakat ini lebih 1,000 usahawan tempatan telah meraih manfaat dibawah inisiatif pengagihan geran bernilai sekitar RM255 juta bersama Cradle – dalam tempoh dua dekad lalu. 

Hasil usaha itu, penerima geran didapati telah menyumbang sebanyak RM830 juta kepada KDNK tempatan dengan mencapai kadar pengkomersialan tertinggi dalam kalangan penyedia geran kerajaan iaitu 100% untuk geran pengkomersialan dan 76% bagi program geran prototaip. 

Lebih membanggakan sehingga kini penerima geran Cradle telah menyediakan lebih 80,000 peluang pekerjaan di pasaran. 

Adanya usaha berterusan bersama pemangkin startup negara ini, MOSTI menjangkakan kumpulan pemain industri ini dapat terus dipacu oleh Malaysia untuk meraih taraf invoasi dalam perniagaan yang lebih besar. Ia tidak sekadar meluaskan lagi bakat teknologi tempatan di persada global tetapi untuk terus mengukuhkan lagi pasaran ekonomi negara secara berperingkat.