Aliran permohonan pinjaman bank di negara kini diperhatikan menurun 11% setakat Jun 2023 berbanding bulan sebelumnya, situasi ini didorong kesan pelarasan Kadar Dasar Semalaman (OPR) di paras 3.00% sejak Mei lalu.
Pertumbuhan yang lebih perlahan itu meliputi pembelian rumah dan kegunaan peribadi.
Berdasarkan laporan tinjauan penyelidikan Kenanga Research ini, pelarasan OPR itu turut menyebabkan berlakunya peningkatan pada kadar pinjaman yang ditetapkan oleh perbankan. Tindakan itu sekaligus membawa kepada penilaian semua permohonan pinjaman kalangan pengguna negara.
Meskipun berlakunya penurunan, pinjaman isi rumah di negara kekal meningkat 5.3% dengan penggunaan transaksi kad kredit ketika ini menunjukkan pertumbuhan sebanyak 14%. Diikuti pinjaman perniagaan naik sebanyak3.0%, yang disumbang oleh perkhidmatan kewangan sebanyak 12%.
Melihat pada corak aliran transaksi yang lebih tinggi berlaku dalam kalangan isi rumah di negara – persekitaran ini dicetuskan oleh tekanan kos semasa, walaupun paras inflasi semakin mereda kepada 2.4% namun masih terdapat tekanan pada kos tertentu dalam pasaran negara, antaranya peningkatan kos makanan yang menjadi keperluan keluarga khususnya kalangan pendapatan rendah.
Sebelum ini, CTOS pernah menggariskan B40 menjadi antara kumpulan tertinggi kadar penggunaan kad kredit dalam perbelanjaan mereka. Meliputi 34.2% penggunaan. Paras itu untuk makluman jauh lebih tinggi berbanding paras purata kadar penggunaan kad kredit di peringkat kebangsaan iaitu 23.7% untuk tahun 2022.