Artikel

Gaji Pekerja Lepasan Ijazah Harus Lebih Tinggi Daripada Gaji Minimum – Menteri Ekonomi

Majikan pada pasaran pekerjaan semasa seharusnya tidak meletakkan aras gaji permulaan untuk pekerja lepasan ijazah berlandaskan ukuran tahap gaji minimum di negara iaitu RM1,500. 

Ini kerana paras gaji minimum itu adalah tidak setimpal akan kemahiran yang dimiliki oleh pekerja lepasan ijazah di dalam sektor ekonomi negara. Menurut Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, majikan sewajarnya peka akan penetapan gaji ini. Kenyataan itu didapati berlaku pada tinjauan awal statistik gaji negara yang menunjukkan paras gaji minimum digunakan sebagai gaji rujukan untuk menggaji para pekerja lepasan ijazah dan berkemahiran. 

Amalan ini perlu diperbetulkan melalui sokongan dasar, supaya kebajikan pekerja Malaysia kekal dilindungi seiring dengan bakat yang dimiliki mereka untuk membantu pertumbuhan negara. 

Maka untuk merealisasikan langkah itu, Kementerian Ekonomi bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan membentangkan Dasar Gaji Progresif pada Isnin hadapan (7 Ogos) bersama Perdana Menteri Anwar Ibrahim bagi menyokong pelarasan gaji di Malaysia. 

Ketika ini, isu bayaran gaji yang rendah di Malaysia telah menyukarkan rakyat untuk imbangi aliran tunai mereka berasaskan tekanan kos semasa. Oleh itu, keperluan pelaksanaan dasar dilihat suatu yang wajar disegerakan. Setakat ini didapati 2 juta rakyat negara selaku pekerja formal meraih gaji RM2,000 ke bawah setiap bulan. 

Situasi itu secara langsung memerlukan perubahan pada langkah segera demi pertumbuhan ekonomi Malaysia di masa hadapan.