Bertepatan dengan sasaran Malaysia untuk meraih kedatangan 16.1 juta pelancong antarabangsa, yang dilihat berupaya menjana sekitar RM49.2 bilion bagi tahun 2023 – firma kewangan negara ketika ini perlu menggandakan usaha sokongan ke arah itu.
Menyedari pelancong Jepun antara 10 penyumbang utama kepada pelancongan dan perbelanjaan di Malaysia – kini Hong Leong Bank bersama firma teknologi kewangan Soft Space dan JCB International, firma pembayaran Jepun telah bertindak meningkatkan penerimaan bayaran menerusi kad JCB di negara untuk memacu aliran kemasukan perbelanjaan dengan lebih meluas bersama peniaga tempatan.
Aturan ini tidak sekadar memberi kemudahan kepada pelancong Jepun di Malaysia bahkan melibatkan pelancong antarabangsa lain khususnya di peringkat ASEAN merangkumi lebih 10 juta pengguna kad JCB.
Hong Leong melihat usaha ini tidak sekadar memacukan lagi aliran pembayaran rentas sempadan antaran Jepun dan Malaysia, tetapi turut menjadi aspek pendedahan buat pemain industri negara akan kepentingan di sebalik akses transaksi nirtunai (tanpa tunai) dalam pasaran ekonomi.
