Shell kini menampilkan sokongan digitalnya dalam perkhidmatan pengisian bahan api – dengan pengenalan aplikasi Shell Asia buat pengguna di Malaysia.
Langkah ini secara langsung memudahkan pengguna untuk lalui proses pengisian petrol dan laksana pembayaran nirtunai secara terus tanpa perlu hadir ke kaunter. Namun berdasarkan tinjauan Rnggt aplikasi ini masih di fasa ujian rintis dan tersedia di sebahagian stesen Shell sahaja.
Lebih menarik pada penggunaan aplikasi ini, pengguna perlu memautkan kad BonusLink ketika mendaftar aplikasi ini untuk memudahkan anda meraih ganjaran yang lebih eksklusif. Ini bermakna para pengguna perlu memiliki pin kad BonusLink untuk menikmati akses aplikasi tersebut. Melalui pautan kad ini, para pengguna boleh menebus pelbagai mata ganjaran melalui katalog pemberian dalam aplikasi Shell Asia.
Bagaimanapun difahamkan e-baucar yang tersedia boleh ditebus hanya pada stesen Shell yang menyokong penggunaan aplikasi ini sahaja. Senarai stesen yang terlibat boleh didapati pada ruangan perincian stesen Shell. Berdasarkan penelitian lanjut, ketika ini akses aplikasi tersebut tidak hanya tersedia Lembah Klang sahaja tetapi turut meluas di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Pahang, Kelantan, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.
Perincian pilihan stesen Shell ini boleh dirujuk pada aplikasi di bahagian tapisan dan pilih Shell Pay untuk ketahui input selanjutnya. Selain itu berhubung kaedah pembayaran pula, aplikasi ini membolehkan pengguna laksana transaksi secara kad debit atau kad kredit melalui sokongan platform eGHL.
Maka adanya kemudahan ini sekaligus akan membuka lebih banyak pilihan buat pengguna untuk nikmati pembayaran bahan api dengan lebih cekap tanpa kaedah fizikal. Sebarang maklumat lanjut, semua pengguna boleh layari laman Shell Malaysia untuk rujukan seterusnya.