Artikel

Sistem E-Invois Bakal Dilaksanakan Pada Separuh Pertama 2024 – LHDN

Sistem e-invois, iaitu medium digital yang bertindak menyelaras proses percukaian negara dengan lebih mudah – diumumkan akan dilaksana pada separuh pertama 2024 ini. 

Makluman pada Persidangan Percukaian Kebangsaan 2023 yang bermula hari ini, memperincikan langkah itu akan membantu pentadbiran mengurangkan risiko ketirisan dan membantu pembayar cukai meningkatkan tahap ketelusan berhubung proses pematuhan percukaian negara. 

Buat pengetahuan, setiap tahun didapati Malaysia hilang RM70 bilion hasil cukai kesan Ekonomi Bayangan. Ia merujuk kepada kegiatan perniagaan yang tidak mematuhi perundangan negara. Ini bermakna ia boleh tergolong dalam kalangan firma yang berdaftar namun tidak patuhi perundangan dan firma yang tidak berdaftar dengan laksana perniagaan berteraskan aktiviti jenayah.

Menerusi sokongan medium pendigitalan ini, ia akan berterusan membantu sistem percukaian negara menjadi lebih kukuh dan mengurangkan berlakunya ketirisan seperti sebelum ini. Untuk tahun 2023 sahaja, dijangka lebih RM176 bilion hasil cukai bakal dicapai negara – ini lebih tinggi berbanding tahun 2022.