Sekiranya tahun lalu, jumlah penduduk Malaysia dicatatkan 32.7 juta – kini angka itu dijangka alami peningkatan pertumbuhan 2.1% kepada anggaran 33.4 juta populasi Malaysia bagi tahun 2023.
Berlandaskan tinjauan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) ini, pertambahan jumlah bilangan penduduk semasa ini didorong peningkatan penduduk Bukan Warganegara yang meningkat daripada 2.5 juta (2022) kepada 3.0 juta penduduk (2023).
Sementara penduduk Warganegara pula telah naik daripada 30.2 juta (2022) kepada 30.4 juta (2023) dengan pertumbuhan 0.7% penduduk. Secara menyeluruh di Malaysia, warganegara menyumbang 91.1% dan bukan-warganegara 8.9%.
Mengikut pertambahan jumlah penduduk negara ini, terdapat 3 negeri menyumbang kepada peningkatan penduduk negara. Iaitu Selangor (21.6%) diikuti Johor (12.3%) dan Sabah (10.8%). Manakala Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya menjadi antara jumlah penduduk terendah dengan masing 0.3% dan 0.4%.
Dari aspek jantina pula, kumpulan Lelaki terus melebihi perempuan pada 2023. Dengan lelaki mencatatkan 17.5 juta penduduk, dan perempuan 15.9 juta penduduk. Manakala nisbah kedua jantina memaparkan 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan.
Selanjutnya berhubung kategori usia pula, penduduk berusia 15-64 tahun telah meningkat kepada 70% pada 2023. Diikuti penduduk berusia 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 7.4% dan penduduk berusia 0-14 tahun pula menurun kepada 22.6% pada 2023.
