Artikel

Malaysia Sasar Tingkatkan Penyertaan Wanita Dalam Sektor Ekonomi – Kepada 60%

Sektor ekonomi di Malaysia secara jelas terus didominasi penyertaan tenaga kerja lelaki, apabila kumpulan ini mencatatkan 80.9% dalam pasaran pekerjaan. Ini berbeza dengan wanita yang hanya terlibat pada paras 55.5%.

Memahami jurang yang berlaku dalam Indeks Gender Malaysia (MGGI) ini, kerajaan dalam matlamat Ekonomi Madani kini berhasrat meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pasaran pekerjaan negara kepada 60% tenaga kerja wanita.

Untuk merealisasikan matlamat itu, negara meneliti terdapat beberapa kekangan yang didepani kumpulan wanita selain memperkasakan ketidakseimbangan gaji serta kuota pengambilan pekerja. Antara lain adalah meningkatkan sokongan kebajikan terutama buat kumpulan wanita yang telah berkeluarga.

Ini kerana mengikut pemerhatian, kumpulan ini cenderung dinafiikan hak kemahiran mereka susulan tumpuan serta peluang dilihat berkurangan. Untuk menangani langkah itu, kerajaan memperincikan akan menambahbaik sokongan kebajikan dan moral, perbaharui dasar keluarga, meningkatkan infrastruktur kemudahan penjagaan kanak-kanak pada kadar berpatutan dan menambahbaik sokongan perundangan untuk lindungi hak wanita.

Langkah ini secara langsung akan memacu penyertaan wanita dalam sektor ekonomi negara. Buat pengetahuan umum, jurang peratusan semasa ini secara jelas menunjukkan berlakunya percanggahan dalam tahap pendidikan. Ini kerana berdasarkan data DOSM 2022 – setiap peringkat pendidikan wanita ditinjau kekal mendahului lelaki. Sebagai perincian peringkat rendah 98.4%, peringkat menengah 94.5% dan peringkat tertiari 47.5%.

Malah situasi pasaran pekerjaan antara wanita dan lelaki turut dibezakan dengan perolehan anggaran gaji. Tatkala lelaki meraih pendapatan sekitar RM37,020, wanita pula hanya RM35,616. Sedangkan anggaran ini meliputi kemahiran dan tahap pendidikan yang sama.

Tambahan, penyertaan wanita dalam sektor pengurusan tinggi turut dilihat rendah. Sebagai contoh dalam arena penggubal undang-undang, pengurus dan pegawai kanan adalah bawah 30%. Ini berbeza dengan penyertaan lelaki yang mendominasi 76% kuota tersebut. Apatah lagi penyertaan wanita dalam arena politik yang sekadar di paras 14.9%.

Maka melalui pemerkasaan baharu kerajaan Malaysia ini, ia akan memperkasa usaha setiap sektor ekonomi untuk membantu meningkatkan penyertaan wanita dalam pertumbuhan ekonomi negara.