Artikel

Klang Bakal Dinaik Taraf Sebagai Bandar Raya

Hasil persetujuan sidang Jemaah Menteri, Klang tidak lama lagi akan menjadi bandar raya ke-20 berikutan langkah menaik-taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada Majlis Bandaraya Klang. 

Pelarasan naik-taraf ini telah mengambilkira pelbagai faktor susulan Klang telah mencapai pendapatan tahunan lebihi RM100 juta dan kini memiliki populasi telah melebihi 500,000 penduduk disamping meraih pendapatan yang mampan. Melalui pengumuman itu – ia sekaligus menjadikan Selangor kelak memiliki bandar raya keempat setelah Petaling Jaya, Shah Alam dan Subang Jaya. 

Susulan makluman ini, menurut Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejumlah RM24.6 juta peruntukan khas akan diraih daripada Kementerian Kerja Raya untuk menaik taraf kemudahan laluan di kawasan terlibat, usaha itu akan dicapai setelah Pilihan Raya Negeri selesai. Selain itu, turut dimaklumkan peruntukan sekitar RM10 juta akan dilaksanakan kerajaan persekutuan dan negeri untuk pembangunan Majlis Bandaraya Klang.

Secara menyeluruh, pelaksanaan tersebut mengikut KPKT akan diisytihar secara rasmi oleh Sultan Sharafuddin Idris Shah kelak pada peralihan Klang selaku bandar raya di Malaysia.