Telekom Malaysia (TM) dilaporkan kini menawarkan dua Skim Pemisahan Sukarela (VSS) ke atas semua pekerja yang berusia 50 tahun dan ke atas.
Berdasarkan perkongsian semasa, aturan ini dilaksanakan secara sukarela sepenuhnya dengan pilihan persaraan awal. Sebagai perincian terdapat dua skim meliputi kumpulan utama VSP untuk pekerja berusia 50 hingga 54 tahun, diikuti pelan kedua iaitu Mesra untuk pekerja berusia 55 tahun sehingga 58 tahun.
Di bawah Mesra, pekerja yang terlibat akan menerima setengah bulan gaji pokok pada bulan terakhir sebelum bersara dan layak meraih faedah perubatan selama setahun dengan jumlah maksimum RM15,000 selaku pesakit dalam dan RM4,000 selaku pesakit luar. Akses ini turut terpakai untuk kemudahan pemeriksaan perubatan, pergigian dan optikal.
Manakala skim VSP pula membolehkan pekerja meraih gaji asas satu setengah bulan pada setiap tahun perkhidmatan dan ia dihadkan maksimum gaji 36 bulan. Maka melalui tawaran tersebut, difahamkan permohonan akan dibuka buat pekerja berkaitan sehingga 31 Julai kelak.
Secara menyeluruh setakat 2022 ini didapati operasi kumpulan memiliki sejumlah 19,499 pekerja dan dianggarkan 52% daripada petugas adalah bukan eksekutif.