Dalam memastikan saluran pendidikan Tingkatan 6 menjadi antara pilihan golongan muda untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat tinggi dan mengetahui nilai disebalik perolehan Sijil Tinggi Pelajaran Malayssia (STPM) – maka untuk tindakan itu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan Tingkatan 6 akan dijenamakan semula.
Perubahan itu akan merangkumi, kelonggaran syarat berhubung kemasukan pelajar pada saluran Tingkatan 6. Sekiranya sebelum ini setiap tawaran perlu lalui KPM namun kelak terdapat cadangan untuk memberi kuasa kepada Pengetua Pusat Tingkatan 6 untuk mengambil pelajar jika terdapat kekosongan kapasiti.
Maka pengetua boleh mengenalpasti pelajar yang berpotensi untuk diserap masuk melanjutkan pengajian mereka pada saluran Tingkatan 6.
Selain mengubah struktur pengambilan pelajar, KPM pada masa yang sama turut memaklumkan menjenamakan semula nama Kolej Tingkatan 6 kepada Kolej Pra-Universiti dengan kuat kuasa serta-merta
Langkah ini secara langsung mengikut laporan turut mengubah sistem istilah pendidikan Tingkatan 6 daripada klasifikasi guru kepada pensyarah dan pengetua dinamakan sebagai pengarah. Bagaimanapun perubahan istilah jawatan itu dimaklumkan tidak akan mengubah gred penjawatan sedia ada.
Tidak hanya itu KPM pada makluman di sidang Majlis Anugerah Pelajar Terbaik STPM, Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) dan Sijil Kecekapan Bahasa Melayu bagi Warganegara Asing (SKBMW) hari ini – turut menyatakan hasrat meningkatkan jumlah guru cemerlang pada kumpulan tingkatan 6 – ketika ini didapati hanya 0.5% atau 60 orang guru sahaja menyandang gelaran tersebut. Melalui usaha penambahan itu, ini akan meningkatkan lagi kecekapan serta instrumen pengajian Tingkatan 6 di Malaysia.
Setakat ini, dimaklumkan pendaftaran kemasukan pelajar Tingkatan telah memperlihatkan sebanyak 67% mendaftar untuk menyambung ke peringkat STPM.