Tahun 2023 dilihat akan menjadi fasa pemulihan yang baik pada aliran pebelanjaan dalam kalangan isi rumah negara – dijangka meningkat 5% dan akan terus mengukuh pada tahun 2024.
Berdasarkan pengamatan dapatan BMI, firma di bawah Fitch Solutions prestasi ini disumbangkan oleh aliran ekonomi yang semakin memulih, menjadikan pertumbuhan perbelanjaan pengguna juga semakin tinggi.
Selain itu, paras inflasi yang lebih sederhana bersama kadar pengangguran 3.5% yang terus menurun turut membantu menjadikan tahap kesejahteraan perbelanjaan pengguna di Malaysia lebih stabil.
Secara menyeluruh tahun ini, perbelanjaan pengguna negara berpotensi meraih RM910 bilion dengan perkembangan pertumbuhan 5%. Sementara nilai ringgit pula disasarkan mengukuh berbading dolar AS kepada RM4.40 menjelang 2024 kelak.
Sementara kadar inflasi pula, di Malaysia diperhatikan lebih terkawal di bandingkan dengan pasaran lain meskipun berdepan perubahan harga. Setakat Mei 2023 lalu paras inflasi negara kini sekitar 2.8% dan dijangka terus menurun pada separuh kedua 2023 ke paras 2.5% dan 2.4% pada 2024.