Meskipun seramai 1.16 juta majikan telah berdaftar bersama Perkeso – Pertubuhan Keselamatan Sosial, namun didapati hanya 581,936 majikan sahaja melaksanakan caruman ke atas pekerja dengan aktif dalam tempoh 12 bulan.
Pemerhatian itu secara langsung turut mendedahkan antara kumpulan majikan yang culas mendaftar serta mencarum pekerja mereka adalah dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut Perkeso, isu ini didorong susulan tahap kesedaran majikan PKS masih lagi rendah akan kebajikan pekerja tetap dan pekerja sambilan mereka di masa hadapan. Tambahan, kebanyak operasi PKS tidak memiliki pengurusan sumber manusia yang kukuh – menyebabkan keperluan ini masih tidak diutamakan. Ini berbeza dengan syarikat berskala besar yang memiliki bahagian pengurusan sumber manusia.
Selain itu masih terdapat kumpulan besar majikan yang tidak mengetahui keperluan mendaftar pekerja sambilan bersama Perkeso adalah tindakan wajib ini tertakluk di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).
Berikutan situasi ini, Perkeso menggesa semua majikan yang berkaitan untuk melunaskan tanggungjawab operasi demi kepentingan para pekerja. Sekiranya masih gagal berbuat demikian dan didapati terdapat tindakan menyalahi undang-undang, setiap majikan berpotensi berdepan kompaun sehingga RM5,000 bagi setiap kesalahan.