Artikel

Harga Barang Berpotensi Naik 20% – Mulai Ogos, September Kelak

Berikutan terdapatnya peningkatan kos pengeluaran dan operasi dalam kalangan segelintir perniagaan dan indsutri – dijangka situasi tersebut berpotensi tingkatkan harga barangan kalangan pengguna sehingga 20% mulai suku ketiga ini. 

Mengikut makluman Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) persekitaran ini berlaku hasil tekanan kemerosotan nilai yang sekaligus membawa kepada peningkatan paras inflasi import. 

Sejak Januari sehingga Julai sebanyak 10% peningkatan kos telah berlaku, perkara ini secara langsung memberi kesan kepada rantaian bekalan perniagaan dan seterusnya ke atas pengguna sebagai rantaian terakhir.

Berdasarkan jangkaan itu, kumpulan pengusaha terbabit menyasarkan peningkatan harga akan mula berlaku pada Ogos atau September kelak – ini didorong hasil kemasukan barangan import yang memakan masa menyebabkan peningkatan harga berlaku pada tempoh tersebut. 

Selain tekanan kos, kesan kos ooperasi luar dan pelarasan gaji minimum turut menyokong peningkatan harga tersebut. Ini adalah tindak-balas peniaga untuk kekalkan keseimbangan operasi mereka secara berperingkat.