Menyedari tekanan kos semasa berbeza di setiap lokasi termasuklah di beberapa bandar utama – Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan (MOF) kini diminta tentukan taraf gaji bersesuaian untuk pekerja yang menyara hidup di kawasan bandar berlandaskan kepada Model Gaji Progresif.
Usul firma penasihat buruh antarabangsa, Persatuan Khidmat Pencarum Perlindungan Sosial Malaysia (SPCAAM) ini adalah menyentuh soal pelarasan gaji minimum RM1,500 di kawasan bandar – diperhatikan tidak memadai untuk menampung keperluan hidup meskipun kumpulan tersebut tidak memiliki komitmen pengangkutan sendiri.
Maka penelitian semula wajar dilaksanakan. Sebagai contoh, tinjauan sebelum ini mendapati kos bujang di Lembah Klang telah naik3.21% dan perlukan RM1,930 sebulan untuk menyara perbelanjaan bulanan. Amaun ini adalah berbeza dengan kumpulan yang miliki pengangkutan sendiri iaitu sekitar RM2,600 sebulan.
Berikutan itu, untuk merealisasikan matlamat tersebut persetujuan bersama majikan wajar diraih untuk memahami tekanan pasaran semasa. Walaupun terdapat majikan telah menggandakan usaha meningkatkan kemahiran dan produktiviti pekerja namun – usaha itu juga wajar diselaraskan pada penentuan gaji minimum yang lebih baik.