Artikel

KWSP : Hanya 30% Pencarum – Capai Paras Simpanan Asas RM240,000 Pada Usia 55 Tahun

Daripada jumlah 8.7 juta pencarum aktif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hanya 30% sahaja iaitu 2.61 juta pencarum yang mencapai sasaran simpanan asas sebanyak RM240,000. 

Sementara berdasarkan jumlah keseluruhan pencarum pula – hanya 18% daripada 15.8 juta ahli memenuhi sasaran simpanan asas tersebut. 

Makluman yang dikongsikan KWSP pada sidang Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC 2023) minggu ini bagaimanapun menunjukkan peningkatan peratusan simpanan berbanding tahun lalu. Akan tetapi tahap tersebut masih membimbangkan. 

Berdasarkan perincian KWSP, situasi ini didorong struktur gaji yang rendah, caruman yan tidak konsisten, kadar celik kewangan yang masih rendah serta jajaran berhubung pengeluaran dana KWSP. 

Selain fokus tersebut, KWSP turut memberi penekanan kepada kepentingan kebajikan sosial di mana dianggarkan setiap 10 orang dewasa di negara akan miliki tambahan tanggungan warga emas menjelang 2050. Ini susulan masyarakat negara yang akan semakin menua di masa hadapan. Maka sistem perlindungan sosial yang lebih inklusif wajar dibentuk untuk meningkatkan kepentingan rakyat Malaysia.