Artikel

Pelarasan Gaji Minimum RM1,500, Kekal Miliki Potensi Naikkan Tekanan Inflasi

Pentadbiran negara akui dan tidak menolak, terdapat potensi risiko kadar inflasi negara meningkat susulan pelaksanaan gaji minimum RM1,500 yang dikuat kuasakan ke atas semua sektor, termasuklah majikan yang miliki kurang daripada 5 pekerja – mulai 1 Julai lalu.

Bagaimanapun, menurut Kementerian Ekonomi risiko kenaikan inflasi tersebut dapat ditampung dengan adanya pelarasan gaji minimum secara berkala dan setimpal dengan tekanan kos sara hidup ke atas penduduk Malaysia.

Tambahan, tindakan pelarasan gaji minimum RM1,500 ini telah diteliti sebaik mungkin bersama kesannya ke atas pasaran negara dan pengguna. Kerajaan percaya langkah penetapan gaji minimum ini akan membantu rakyat mengimbangi tekanan kos sara hidup secara berperingkat.

Setakat ini, tekanan inflasi Malaysia mulai mereda pada paras 2.8% bagi data Mei 2023 dan angka itu mencatatkan penurunan selama 9 bulan berturutan. Sekiranya usaha ini berterusan, disokong kenaikan gaji minimum secara berperingkat, situasi tekanan kos penduduk ini dijangka dapat ditangani dengan lebih baik pada masa hadapan.