Ternyata permintaan makanan yang lebih sihat di negara kini semakin meningkat. Tidak hanya di Malaysia bahkan di Indonesia iaitu didapati permintaan makanan organik telah melonjak daripada 83% kepada 92% untuk kedua buah negara ini.
Perkongsian data pada laporan Kantar Malaysia bersama SIAL Network dalam pameran Food & Drinks Malaysia 2023 hari ini menunjukkan permintaan makanan pada 2022 itu telah didorong kesan krisis kesihatan yang menimpa global sebelum ini. Lebih menarik pengguna negara turut bersedia berbelanja lebih tinggi bagi mendapatkan makanan yang lebih sihat di masa hadapan.

Selain memberi perhatian pada perolehan makanan yang lebih sihat, pengguna Malaysia kini turut mementingkan material pembungkusan makanan. Di mana tinjauan dapati pengguna tempatan turut semakin mengurangkan aktiviti pembelian pada pembungkusan makanan yang menggunakan plastik.
Aturan itu sekaligus turut membantu arena makanan negara menjadi lebih lestari dan menyokong para peniaga beralih kepada pembungkusan yang lebih mesra alam sekitar. Ini sejajar dengan matlamat Malaysia untuk merealisasikan matlamat tiada lagi penggunaan plastik menjelang 2025 dalam kalangan premis dan perniagaan di seluruh negara.
Apa yang membrangsangkan juga, dalam laporan Kertas Putih SEA Insights Food 360 ini turut mendedahkan persepsi pengguna Malaysia dalam menghargai keperluan makanan telah meningkat daripada 69% kepada 71% setakat 2022.
Ini bermakna tahap kesedaran pengguna terhadap makanan semakin tinggi, meliputi tindakan tindakan pembaziran dan dapat memahami keperluan saiz hidangan yang bersesuaian bersama keperluan nutrisi yang setimpal untuk pengguna. Buat pengetahuan umum, pengguna negara dianggar hasilkan 17,100 tan metrik sisa makanan setiap bulan. Sisa tersebut diperhatikan berupaya manfaatkan makanan kepada 3 juta penduduk di negara.
Maka faktor peningkatan kesedaran ini secara jelas akan membantu Malaysia mengurangkan lagi penghasilan sisa makanan dari semasa ke semasa.