Makanan sememangnya antara penyumbang besar dalam sektor ekonomi Malaysia, pengukuhan ini dapat diperlihat pada 3 bulan pertama tahun 2023 apabila hasil jualan runcit negara sebanyak RM138.5 bilion diraih dengan makanan dan minuman negara menyumbang kepada 17.9% pada perolehan itu.
Memahami kerancakkan tersebut, pada Pameran Food & Drinks Malaysia (FDM) 2023 Anjuran Comexposium bersama SIAL Network yang bermula hari ini, dilihat bertujuan merancakkan lagi arena makanan dan minuman tempatan pada arena antarabangsa. Difahamkan sekitar 450 jenama tempatan bersama antarabangsa dimaklumkan sertai pameran selama 3 hari ini.
Buat pengetahuan umum SIAL Network ialah pameran perdagangan yang diktiraf di peringkat global yang mengkhusus dalam trend dan inovasi tentang makanan. Ditubuhkan di Perancis pada tahun 1964, SIAL Network telah mengukir namanya sendiri sebagai ‘Pasaran Makanan Global’ – berfungsi sebagai platform untuk menghubungkan dan memudahkan perniagaan dalam komuniti makanan antarabangsa.
Lebih menarik acara yang turut disokong Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan ini turut memperlihatkan penyertaan dari 22 buah negara yang berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur.

Melalui usaha pameran ini, ia tidak sekadar meluaskan lagi penerokaan Malaysia pada pasaran serantau makanan tetapi turut membuka ruang yang lebih besar khususnya dalam pelaburan melibatkan perluasan sektor seperti makanan laut, makanan halal, dan inovasi teknologi makanan tempatan lebih berkembang dari semasa ke semasa.
Berdasarkan pelaksanaan ini, dijangka seramai 10,000 pelawat memeriahkan agenda FDM 2023 anjuran Comexposium bersama SIAL Network selama 4 Julai sehingga 6 Julai ini.
