Bersama peruntukan bernilai RM2 juta, golongan B40 kini dapat meraih manfaat miliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) secara percuma menerusi program MyPSV. Di bawah tawaran ini, sejumlah 3,500 lesen melibatkan pemohon lesen PSV bagi khidmat seru-pandu dan teksi. Sementara 500 lagi lesen PSV pula tersedia melibatkan khidmat bas di seluruh negara.
Makluman Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) pada sidang Program MyPSV hari ini menjelaskan usaha tersebut akan membantu B40 meringankan kos bagi keperluan lesen PSV. Untuk pengetahuan pembaca, bagi memiliki lesen PSV bas, pengguna perlu menanggung kos sekitar RM2,590.
Maka melalui tawaran tersebut, ini akan membuka peluang kepada golongan B40 untuk meneroka pekerjaan yang lebih luas dalam sektor pengangkutan khususnya melibatkan khidmat bas yang ketika ini berdepan kekurangan petugas.
Tidak hanya itu, MOT turut berpendapat usaha ini tidak hanya membantu B40 tetapi meningkatkan lagi kerancakkan arena perkhidmatan dalam membantu sektor pelancongan negara kembali memulih.