Sekiranya sebelum ini, had usia kenderaan yang digunapakai pada institut memandu di pasaran negara adalah sekitar 5 tahun hingga 7 tahun – kini Kementerian Pengangkutan (MOT) memaklumkan had usia kenderaan tersebut dilanjutkan kepada 10 tahun.
Lanjutan itu telah dicapai hasil penelitian pentadbiran bersama cadangan yang dikemukakan pemain industri. Malah langkah tersebut dilihat bertepatan dengan tempoh penangguhan kelas memandu, yang telah tergendala, tidak digunakan dalam tempoh 2 tahun ketika fasa pandemik COVID-19 sebelum ini.
Selain tindakan tersebut, MOT turut memaklumkan bagi kenderaan baharu di institut memandu akan dikecualikan daripada pemeriksaan berkala Puspakom untuk penggunaan dua tahun pertama.
Melalui pengecualian ini, ia secara langsung akan memberi galakkan kepada pengurusan institut memandu untuk menaik-taraf unit kenderaan mereka secara berkala dan aturan itu secara langsung dapat tingkatkan kualiti perkhidmatan secara berperingkat.
Oleh itu, setelah unit kenderaan telah lepasi had usia 2 tahun – pihak pengurusan perlu laksana pemeriksaan mandatori sekali pada setiap tahun. Menerusi pengumuman ini, MOT menjangkakan industri sekolah memandu negara akan terus meraih manfaat dan menggunakan faedah tersebut untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka bersama pengguna.