Seperti yang umum ketahui, sejak April lalu inisiatif Program Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) telah dibuka bagi membenarkan para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang layak dapat laksana pinjaman secara bercagar.
Sehingga 11 Jun lalu, didapati sejumlah RM981.1 juta telah diluluskan dengan 88,414 pencarum layak untuk perolehan pinjaman tersebut.
Jumlah ini untuk makluman merangkumi hasil kelulusan pinjaman di bawah Malaysia Building Society Bhd (MBSB) sebanyak RM878.6 juta, dan Bank Simpanan Nasional (BSN) sebanyak RM103.3 juta.
Bagaimanapun menurut Kementerian Kewangan (MOF) di sidang Dewan Negara, setakat ini didapati hanya 47,696 pencarum KWSP sahaja telah menyatakan ketersediaan untuk menerima pembiayaan tersebut.
Sementara bagi pemohon yang tidak berjaya pula dimaklumkan adalah kerana tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan seperti permohonan tidak lengkap, di luar kelayakan umur atau simpanan Akaun 2 tidak mencukupi.
Buat pengetahuan umum, kelayakan pinjaman FSA2 ini tertakluk kepada baki simpanan dalam Akaun 2 KWSP pencarum. Pinjaman ini secara langsung tidak memerlukan pencarum mencagar wang simpanan ahli demi mengimbangi kepentingan pendapatan persaraan di masa hadapan dan keperluan kewangan semasa.