Artikel

Mastercard Laksana Pelan Kitar Semula Kad Kredit, Kad Debit Secara Global 

Menyedari berlakunya penghasilan 380 juta tan sisa plastik setiap tahun dengan setiap penghasilan kad menyumbang kepada 5gram sisa plastik – Mastercard kini akan laksana pelan mengitar semula kad kredit atau kad debit yang tidak lagi terpakai, sebagai langkah memelihara kelestarian dalam industri kewangan.

Pelan ini menurut Mastercard akan dilaksana secara bersama dengan HSBC Britain bagi tempoh 6 bulan pertama untuk peringkat awal dan turut dibuka kepada penyedia bank di seluruh dunia untuk turut sama menyertai inisiatif pelan ini.

Pada usaha tersebut, dimaklumkan Mastercard akan menyediakan mesin pencarik kad yang boleh memuatkan sehingga 10,000 kad bersamaan dengan 50kg plastik. Setelah mesin tersebut mencapai kapaiti, sisa plastik tersebut akan dipindahkan ke kemudahan kitar semula plastik.

Selain bertujuan melupuskan kad Mastercard yang tidak terpakai, inisiatif ini turut dibuka buat pelanggan yang ingin mengitar semula mana-mana kad plastik termasuklah kad dari pesaing.

Melalui usaha ini ia secara langsung menjadi usaha global untuk melandaikan lambakan kad pada persekitaran semasa. Berdasarkan jangkaan Nilson, diramalkan jumlah edaran kad boleh meningkat kepada 28.4 bilion menjelang 2027 kelak. Situasi tersebut akan memberi kesan yang besar pada penggunaan plastik di peringkat global.

Tidak hanya itu, menjelang 2028 – turut dimaklumkan Mastercard bersama rakan kongsinya menetapkan akan menghasilkan kad kewangan baharu yang mengandungi bahan kitar semula dan bahan lestari bagi memacu lagi usaha memelihara alam sekitar. Langkah ini dimaklumkan akan dilaksanakan di seluruh dunia.