Ketika ini, masih terdapat segelintir pembayar cukai yang culas melaksanakan tanggungjawab mereka. Setakat pertengahan Jun sahaja, hanya 229,613 Borang B secara e-filing bagi taksiran cukai 2022 diterima pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Jumlah penerimaan borang ini membawa kepada nilai kutipan cukai RM1.2 bilion.
Data ini diperhatikan lebih rendah berbanding tahun lalu, dengan 777,579 Borang B diterima bersama nilai cukai RM5.56 bilion. Menurut LHDN, situasi ini didorong hasil tabiat membayar cukai di saat akhir, sedangkan tarikh akhir pelunasan cukai tersebut adalah pada 30 Jun ini.
Antara kumpulan yang seringkali berbuat tindakan sedemikian adalah kalangan mereka yang memiliki pendapatan hasil perolehan tunggal seperti usahawan, pempengaruh, firma guaman, bidang penulisan, artis dan YouTuber.
Situasi ini turut berlandaskan kepada tahap kesedaran kepentingan membayar cukai kumpulan ini masih rendah, jika dibandingkan bersama individu yang memiliki pendapatan penggajian serta syarikat korporat.
Susulan itu LHDN memberi peringatan mana-mana pihak yang gagal melunaskan tanggungjawab tersebut berpotensi dikenakan penalti sehingga 300%, sementara kumpulan yang gagal laporkan pendapatan secara tepat turut boleh berdepan penalti sehingga 100% daripada jumlah cukai taksiran.