Artikel

KWSP Kini Lancar Panduan, Aplikasi Belanjawanku – Mudahkan Pengguna Urus Perbelanjaan

Kini 11 lagi bandar utama di seluruh negara telah meraih manfaat hasil pelancaran Panduan Belanjawanku buat Individu dan Keluarga di Malaysia 2022/2023 bersama ketersediaan Aplikasi Mobil Belanjawanku – yang bertindak memudahkan pengguna awam melihat pengurusan anggaran wajar pada rekod perbelanjaan bulanan mereka. 

Usahasama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bersama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) Universiti Malaysia pada pelancaran buku panduan ini ternyata memberi pelbagai perincian akan cadangan peruntukan perbeelanjaan, perbelanjaan pilihan dan simpanan persendirian buat rakyat Malaysia.

Sementara melalui Aplikasi Mobil Belanjawanku yang dibangunkan sepenuh oleh KWSP pula menerapkan ciri interaktif – dengan memudahkan pengguna memantau perbelanjaan mereka secara atas talian. Pada aplikasi ini, pengguna boleh memilih menggunakan panduan Belanjawanku atau menggunakan kaedah Rule of Thumb untuk memantau perbelanjaan bulanan mereka.

Pada pendekatan Rule of Thumb didapati pengguna akan diberi pendedahan pecahan perbelanjaan mengikut jumlah pendapatan pengguna. Merangkumi komitmen (35%), keperluan (45%) dan simpanan (20%). 

Malah di aplikasi Belanjawanku, orang awam turut boleh menyesuaikan aliran perbelajaan bersama jumlah pendapatan pada bila-bila masa. Langkah ini sekaligus memudahkan pengguna mengatur melihat aliran perbelanjaan meskipun terdapat perubahan pendapatan mahupun tambahan komitmen di masa hadapan.

Usaha ini sekaligus akan membantu pengguna untuk lebih peka, merancang kewangan dan mengurus aliran hutang mereka dengan lebih baik dari semasa ke semasa. Setakat ini difahamkan aplikasi Belanjawanku telah merekodkan jumlah muat turun sejumlah 12,000 susulan pengenalan telah dilakukan sejak Ogos 2022 lagi.

Maka untuk orang awam, boleh merujuk aplikasi Belanjawanku ini pada platform Apple App Store, Google Play dan Huawei App Gallery untuk tindakan muat-turun pada peranti pintar.