Artikel

Selangor Rancang Larang Kedai Haiwan Jual Kucing, Anjing 

Bagi menggalakkan proses peliharaan haiwan dilakukan melalui pengambilan di pusat pelindungan haiwan – Selangor kini miliki perancangan untuk melarang operasi kedai haiwan daripada menjual kucing dan anjing bagi pasaran di negeri tersebut.

Operasi tersebut dilihat sewajarnya hanya melibatkan jualan barangan, makanan serta keperluan haiwan peliharaan sahaja.

Laporan TheStar ini menjelaskan cadangan tersebut telah dizahirkan Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor pada sidang Forum Pengurusan Anjing Terbiar Selangor 2023 minggu ini.

Bagaimanapun cadangan tersebut masih diperingkat penelitian dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Setakat ini kerajaan negeri Selangor melihat, sekiranya setiap wakil tempatan menjalankan aktiviti kesedaran program pengambilan haiwan peliharaan – situasi sedemikian secara langsung akan membantu negara mengurangkan kadar pembuangan haiwan peliharaan dan sekaligus menyokong pengambilan haiwan di pusat pelindungan yang tersedia di negara tanpa perlu melibatkan sebarang kos pembelian yang tinggi.